Monday, July 28, 2008





















Apakah gejala kanak-kanak yang mengalami rabun jauh?


Selalunya mereka akan membaca buku pada jarak dekat dan apabila melihat objek yang jauh seperti televisyen, mereka mengecilkan kedua-dua mata supaya objek itu kelihatan lebih jelas.

Apakah punca rabun jauh?

Setakat ini tiada teori tepat mengenai punca berlakunya rabun jauh. Bagaimanapun, faktor keturunan mempunyai pengaruh terhadap berlakunya rabun jauh. Kemungkinan seorang anak yang ibu bapanya rabun jauh mengalami masalah sama ialah 40 peratus.

Ada teori mengatakan, rabun jauh berlaku jika seseorang gemar membaca pada jarak dekat. Sesetengah pakar lain pula mengatakan, kerana rabun jauhlah seseorang itu membaca pada jarak dekat.

Adakah rabun jauh sejenis kecacatan?

Tidak. Sebenarnya struktur mata orang yang rabun jauh adalah normal. Apa yang berlaku ialah, biji mata mereka lebih besar dan panjang berbanding orang yang tidak rabun. Imej yang masuk ke dalam mata tidak dapat difokus dengan tepat ke atas retina, tetapi terfokus di depannya.

Situasi ini dapat diumpamakan dengan perbezaan manusia berambut lurus dan berambut kerinting, ada yang bercermin mata dan ada yang tidak bercermin mata.

Benarkah jika cermin mata selalu dipakai, ‘power’ atau kuasa cermin mata kerap bertukar atau bertambah?

Ini tidak benar. Sebenarnya sama ada cermin mata dipakai atau tidak, kerabunan meningkat setiap enam bulan di mana kuasa cermin mata harus ditukar. Ini satu proses semula jadi yang dialami individu rabun.

Penambahan tahap kerabunan berlaku sehingga mereka dewasa iaitu apabila meningkat umur 18 hingga 25 tahun. Oleh itu, penting cermin mata dipakai untuk memberi keselesaan kepada kanak-kanak rabun dan menentukan mereka mendapat melihat sejelas mungkin di sekolah.

Bolehkah faktor pemakanan mempengaruhi rabun?

Tidak dapat dinafikan, vitamin A diperlukan dalam proses biokimia di dalam retina pesakit. Namun, ini tidak bererti vitamin A dapat mengubat kerabunan, seperti dilakukan kebanyakan ibu yang memberi anak mereka makan sayur lobak merah dengan harapan kerabunan itu hilang. Ini satu usaha yang tidak memberi manfaat.

Bagaimanakah rabun jauh dirawat?

Kaedah rawatan paling mudah ialah memakai cermin mata. Kaedah lain pula ialah menggunakan kanta lekap yang diletakkan di atas lapisan kornea. Rawatan terbaru ialah rawatan laser atau lasik yang memberi seseorang itu keyakinan dan tidak perlu memakai cermin mata.

Oleh itu, mereka yang mengalami masalah ini janganlah terlalu sedih, masih ada ruang dan peluang untuk mendapatkan rawatan......hidup perlu diteruskan...segalanya Allah jua yang menentukan...La Tahzan.

No comments: