Friday, December 4, 2009

Yazee Farhan Sertai Pertandingan Hafazan


Jumaat, 4 Dis 2009 anakku Yazee Farhan menyertai Pertandingan Hafazan ayat-ayat lazim di Kg Benoni sebagai peserta jemputan, dicadang oleh Guru Besar SUIS. Surat diterima pada malam sebelum hari pertandingan, dihantar oleh sekuriti. Masa suntuk untuk membuat persediaan, tapi Yazee Farhan mahu juga mencuba, sebelum ni pernah menyertai pertandingan hafazan prasekolah peringkat daerah Papar dan mendapat tempat ke-3, johan peringkat SUIS tahap 1 dan mendapat anugerah Pelajar Terbaik j-QAF SK. Benoni tahap 1. Alhamdulillah mudah-mudahan semangatnya sentiasa mekar seterusnya menjadi anak yang soleh dan menjadi abang yang baik kepada adik-adiknya. Malam tadi majlis kemuncak pelbagai acara yang dipertandingkan di Kg. Benoni tu. Yazee Farhan diumum sebagai Johan bagi kategori peserta lelaki tahap 1. Babah dan umi ucap syabas dan tahniah.....belajar bersungguh-sungguh, baiki bacaan dan hafal banyak lagi surah....Terima kasih kepada semua guru sekolah dan guru kelas al-Qurannya...

Friday, November 27, 2009

Ingatan bersama


Saf Jarang-jarang Waktu Solat Aidil Adha


Berbeza dengan hari raya puasa, solat raya korban jarang-jarang dan tidak bersesak. Orang ramai tidak gegas untuk ke masjid, anak-anak pun selamba sahaja...tidak seperti raya puasa awal subuh sudah bangun bersiap. Aku datang pun bilal waktu tu sedang melaungkan seruan solat. Apa yang aku dapat amati dan perhatikan masyarakat di kampungku, mungkin juga di Malaysia secara umumnya, semacam tidak begitu kisah dengan sambutan Aidil Adha. Teringat waktu dulu, Aidil Adha diraikan hampir-hampir sama meriahnya seperti hari raya puasa. Aku terfikir apa pula yang akan berlaku pada tahun-tahun mendatang.....

Thursday, November 26, 2009

Menghayati semangat dan makna korban yang sebenar

Ketika suara jutaan umat Islam dari seluruh dunia bertautan-tautan dengan pujian takbir, tahlil dan tahmid di tanah suci Mekah, kita di sini juga tidak sepi dari mengalunkan puji-pujian yang sama. Jelas penyatuan umat Islam atas dasar Iman dan Islam sebagai suatu nikmat terbesar yang dianugerahkan Allah SWT. Semoga kita menjadi individu yang taat dan bersedia berkorban sekaligus menghayati roh dan makna korban yang sebenar. Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha.

Wednesday, November 25, 2009

Refresh Plus


Mencari Refresh Plus sampai ke SMC...., pusing seluruh Papar setiap farmasi dan klinik ditanya..., semua menghampakan....pecut japlah ke SMC demi isteriku. Sampai saja di SMC isteriku dengan pantas meluru ke SMC dan memberi tahu pekerja farmasi dia mahu membeli Refresh Plus...pekerja itu terus memberikan apa yang diminta....nampak kaget sedikit raut wajah isteriku...., kemudian bertanya "Inikah Refresh Plus tu...?" Pekerja farmasi tu menjawab "Ya, itulah Refresh Plus". Sementara aku ketika itu menunggu di dalam kereta melihat senyum simpul yang dilemparkan isteriku. Sesampai di kereta aku kehairanan kenapa isteriku memberi senyuman mahalnya kepadaku. "Kenapa senyum-senyum ?", aku bertanya. "Tiada apa-apa, cuma umi mau minta maaf" jawabnya. Aku menjangkakan memang ada sesuatu yang berlaku di farmasi tadi. "Ceritalah apa yang berlaku sebenarnya..?" terasa sedikit kegusaran di hati waktu tu, manalah tahu ada sesuatu yang dilakukannya yang aku tidak suka. Aku sudah faham dengan sikapnya, kalau ada sesuatu yang boleh membuatkan aku marah, dia akan segera minta maaf. "Cepatlah cakap, apa...?". "Minta maaf bi, sebenarnya Refresh Plus yang umi mau cari tu ada jual di Guardian Giant Papar, ini rupanya Refresh Plus" sambil menunjukkan apa yang dibeli. Aku mendengus panjang, perasaan berbaur panas, kecewa, lucu dan aduhhh......, mau marah pun malas, jauh-jauh beli di SMC rupa-rupanya apa yang ada di guardian giant tu lah Refresh Plus...! Nasiblah cuti, kira cuti-cuti Malaysialah tuh.... Bertuah punya bini...! hehehe.....

Sunday, November 22, 2009

Hari 1 Minggu 1 Cuti Panjang

Terlalu penat setelah berhari-hari membantu kakak sulung Lasminah @ Mariam Alamin membuat persiapan dan seterusnya melangsungkan hari perkahwinan anaknya yang ke-2 (anak saudaraku) Bustanul Muhammad Ariffin Ag. Talip dengan pasangannya Farihah Umairah (emmy panggilannya sebelum Islam). Semuanya sudah usai kelmarin.....hari ni di rumah saja meredakan kepenatan.... dan menikmati hari pertama cuti walaupun seperti tidak bercuti....

Friday, May 1, 2009

Aduhai ibu ayah pandang anakmu

Entah kenapa sejak sekian lama kerisauan di dalam hati telah menimbulkan rasa khuatir apabila memikirkan peranan dan cabaran ibu bapa zaman sekarang dalam mendidik serta membesarkan anak-anak. Pandangan saya yang begitu hampir dengan generasi remaja yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah memberi interpretasi yang pelbagai tentang corak cabaran dan peranan yang mendepani golongan ibubapa hari ini. Saban hari berhadapan dengan gelagat dan kerenah pelajar telah membuka ruang fikir untuk merenung sedalam-dalam dan seluas-luasnya permasalahan yang berlaku yang perlu mendapat perhatian sewajarnya daripada semua pihak. Sudut pandang ini melihat dua pihak saling bertautan iaitu ibubapa dan anak-anak dalam menentukan aspek peranan dan cabaran sekaligus menjelaskan hala tuju tanggungjawab masing-masing.
Pada hari ini berbagai-bagai cabaran yang sudah pasti sentiasa berada di persekitaran anak-anak. Mahu tidak mahu generasi kita ini terpaska bersaing dalam cabaran yang sangat menduga kekuatan rohani dan mental sekaligus menguji keutuhan asuhan agama yang dipunyai oleh anak-anak tersebut. Betapa resah dan gelisah perasaan ini apabila membayangkan tika berada pada hamparan masa yang penuh pancaroba itu. Ya Allah selamatkanlah anak-anakku daripada fitnah dan mehnah dunia yang menggegar keimanan, mantapkan iman dan taqwa mereka agar dapat menggalas segala amanah dan tanggungjawabMu......